PM Bakal umum pelarasan imbuhan tetap penjawat awam 2 minggu lagi
KOTA BHARU: Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan berita gembira berhubung pelarasan imbuhan tetap untuk penjawat awam, termasuk warga pendidik, dua minggu lagi.
Bagi tujuan itu, Perdana Menteri berkata, beliau akan mempengerusikan mesyuarat pelarasan yang pertama pada minggu depan.
"Insya-Allah, pengumuman itu (pelarasan imbuhan tetap) akan dibuat dalam satu atau dua minggu lagi, sementara menunggu kajian pelarasan gaji selesai yang dijangka mengambil tempoh lima hingga enam bulan lagi.
"Justeru, saya mohon persiapkan beberapa kertas (kerja) awal untuk tujuan ini.
"Imbuhan tetap itu sudah beberapa bulan dikaji, namun ia lewat diumumkan berikutan belum mendapat kelulusan Kementerian Kewangan sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan dan soal jawab bersama warga pendidik pada Program Cakna Madani Perdana Menteri Bersama Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia, di Dewan Utama Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau akan turut memberikan ganjaran munasabah serta adil kepada guru dan penjawat awam lain berikutan tiada kenaikan dalam tempoh agak lama.
"Pelarasan ini dilakukan untuk meningkatkan skim gaji guru dan penjawat awam yang lain, sekali gus mengurangkan jurang perbezaan skim gaji.
"Ini bukan sebab nak Pilihan Raya Negeri (PRN) tetapi saya mahu dikenali sebagai 'Anwar yang prihatin'," katanya.
Post a Comment
0 Comments